KISAH ASAL USUL GANGSTER MALAYSIA DAN DI MANA MEREKA SEKARANG.

KISAH ASAL USUL GANGSTER MALAYSIA DAN DI MANA MEREKA SEKARANG.

Korang mesti pernah tengok filem-filem gangster macam Goodfellas, The Godfather, atau filem tempatan macam KL Gangster atau Hantu Gangster. Filem-filem gangster tempatan biasanya berkisarkan tentang macam mana mereka ni boleh terjebak dalam dunia gangster, dan untuk teruskan kehidupan di dunia yang serba mencabar ni. Filem-filem macam ni sebenarnya adalah adaptasi daripada cerita kehidupan sebenar gangster, yang dijadikan inspirasi oleh para pengarah filem.

Antara filem Malaysia yang tak kurang hebatnya satu masa dulu. Imej dari imdb

Baru-baru ni, seramai 36 orang gangster daripada Gang 04 ditahan PDRM dan didakwa atas beberapa kesalahan jenayah seperti pembunuhan, serangan, rompakan dan pengedaran dadah. Pada tahun 2013, polis pernah menembak mati seramai lima orang gangster daripada Gang 04 di Pulau Pinang, dan mereka yang terbunuh didakwa terlibat dalam beberapa kejadian tembak-menembak di negeri tersebut.

Kalau korang tak pernah dengar pasal Geng 04 yang kitorang ceritakan ni, cuba korang ingat balik pasal satu pembunuhan seorang ahli perniagaan wanita, Datin Reynce Wong. Mangsa ditembak mati oleh ahli Geng 04di Taman OUG, Jalan Klang Lama pada Julai 2016. Anak perempuannya yang berumur 8 tahun turut ditembak dalam insiden tersebut.

Kami ada la cari lagi pasal sejarah Geng 04 ni, dan korang mesti tak sangka dari mana mereka ni muncul…

Kumpulan gengster di Malaysia dulunya dikendalikan oleh taiko Cina sebelum diambil alih oleh Geng India

Gang 04 sebenarnya bermula di Bentong, Pahang pada tahun 1980-an oleh seorang ahli pertubuhan kongsi gelap Cina yang bernama Wah Kee. Kumpulan kongsi gelap ni pada mulanya berkecimpung dalam beberapa jenayah macam meminta wang perlindungan dan juga pergaduhan perebutan kawasan. Tapi bila ahli kumpulan India ni ambil alih, mereka pun mulalah mengembangkan lagi aktiviti jenayah yang lebih serius macam pembunuhan, pengedaran dadah, pemilikan senjata, dan sebagainya.

Selain Geng 04, ada beberapa kumpulan kongsi gelap lain seperti Gang 08, 18 dan 36 yang dikendalikan oleh ahli kongsi gelap berbangsa India. Tapi korang tahu tak sebenarnya, mereka ni berasal daripada kongsi gelap Cina? Mereka ni sebenarnya adalah sebuah kumpulan jenayah terancang, lebih kurang macam mafia Cina. Tapi kongsi gelap Cina dah wujud sejak sebelum kemerdekaan lagi. Malah, ada dua siri pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap ni di Larut, Perak pada tahun 1861 – korang boleh baca kat sini untuk recap balik sejarah tu.

Perang Larut seperti yang digambarkan. Imej dari xaanaax.blogspot.com

Tapi persoalannya sekarang, macam mana geng yang satu masa dulu penuh dengan orang Cina boleh bertukar kepada India pula? Dan bila perkara ni berlaku?

Geng berbangsa India bermula dengan membantu geng Cina ni menjalankan aktiviti haram pada 90-an. Mereka bertindak sebagai pengawal peribadi atau penjaga sebelum diterima masuk ke dalam geng tersebut, dan perlahan-lahan ‘naik pangkat’ jadi ketua. 70% daripada ahli kongsi gelap yang beroperasi di Malaysia hari ini adalah orang India, manakala bilangan orang Cina yang terlibat adalah sekitar 25%.

Sin Chew Daily juga melaporkan yang kebanyakan ahli kongsi gelap Cina sekarang mengusahakan ‘perniagaan yang sah’, contohnya seperti pelaburan hartanah. Mereka ni lebih kepada ‘silent partners’ di mana hasil keuntungan daripada perniagaan sah ni digunakan untuk  membiayai kegiatan haram yang menyalahi undang-undang!

Malah, PDRM juga dah mengenalpasti beberapa orang VIP dengan gelaran Datuk dan Datuk Seri yang menyalurkan kewangan untuk geng ni, contohhya seperti seorang Datuk Seri yang berusia 50-an yang sebenarnya merupakan ketua Geng 24 di Pulau Pinang.

Malangnya di Malaysia, bangsa India selalunya distereotypekan sebagai gangster. Salah satu sebabnya adalah kaum India selalu ditahan polis. Perkara ni menimbulkan rasa tak puas hati bangsa tersebut, jadi ada beberapa tuduhan dilemparkan terhadap pihak polis. Salah seorangnya adalah Ketua Pemuda MIC yang membantah keputusan PDRM yang mensasarkan golongan belia India, melalui beberapa dokumen polis yang ‘dibocorkan’.

“Perlu ke untuk mengklasifikasikannya dengan kaum? Polis mesti jelaskan kenapa mereka mensasarkan golongan muda India dalam Ops Cantas Khas 2 terkini.” – Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran dalam satu kenyataan di Malaysian Times.

Korang nak tahu lebih lanjut lagi kenapa ramai sangat gangster India ni? Korang boleh baca kat sini.

“Mereka ni bukanlah samseng biasa kerana mereka tak diurus seperti kongsi gelap pada hari ini, jadi mereka disebut sebagai ‘kumpulan samseng ganas’ – Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, dari Malay Mail Online.

Geng 04 diperluaskan ke KL, semuanya berpunca dari Bentong Kali

Korang mesti pernah dengar nama Bentong Kali (aka P. Kalimuthu), kan? Dia adalah antara gangster paling femesss di Malaysia, dan terbabit dalam 17 pembunuhan, yang kebanyakannya dilakukan untuk keseronokan je. Dia ni juga memang terkenal dengan sifat panas barannya dan suka mengamuk tak tentu pasal.

Sebab tu lah ramai orang yang tak bersalah terbunuh ditembak dengan pistol jenis Sig Sauer P226 semi-automatik buatan Jerman miliknya. Bayangkanlah, ada satu hari tu dia main redah je ke sebuah parti hari jadi dan menembak tetamu yang ada secara rawak, dan menyebabkan empat orang daripada mereka terbunuh.

Bentong Kali dilahirkan di Bentong dan dilatih oleh kumpulan kongsi gelap Wah Kee, atau Geng 04 sendiri seawal umur 14 tahun! Masa zaman remajanya lagi, dia diberi kepercayaan dengan beberapa ‘tugasan luar’ oleh geng tu, yang menyebabkan dia beberapa kali ditangkap. Masa dia keluar penjara sewaktu berumur 20 tahun, dia sertai pulak Geng 08 yang berpangkalan di KL dan seterusnya menaikkan namanya sebagai gangster besar KL.

Bentongkali. Kalau nama dia Asyraf mesti nama dia Acapkali. Imej dari wikipedia

Disebabkan Bentong Kali rasa dia dah lama berkecimpung dalam dunia gangster ni, dia pun kemudiannya buka satu lagi ‘cawangan baru’ daripada geng sedia ada, dan memanggilnya ‘Geng 04 Jalan Klang Lama’ (cawangan baru betul ni).

Tapi, bukan Geng 04 je yang ada beberapa cawangan yang muncul macam cendawan tumbuh lepas hujan ni. Sin Chew Daily melaporkan, ada beberapa kumpulan gangster lain macam Geng 08, 36 (dan macam-macam nombor lagi) ada ‘cawangan’ tersendiri di seluruh negara.  Walaupun mempunyai nama yang sama, tapi Geng 04 di Pulau Pinang dikendalikan oleh ketua yang berbeza dengan kumpulan di KL, dan tak begitu bergantung sesama sendiri.

“Terdapat lebih daripada seratus kumpulan kongsi gelap dan gangster di negara ini, kebanyakannya telah keluar dari struktur organisasi mereka yang sebenarnya. Ramai anggota geng berpecah untuk membentuk unit bebas, yang mengakibatkan geng tunggal berpecah dan menjadi puak yang lebih kecil” – Ahli kriminologi, Dr P. Sundramoorthy, memberitahu Sin Chew Daily.

Berbalik kepada Bentong Kali, dia akhirnya terbunuh di Medan Damansara apabila ditembak seorang penembak tepat polis pada tahun 1993. Kalau korang nak tahu lebih lagi pasal dia, kami pernah tulis artikel pasal Bentong Kali dan beberapa orang penjenayah di Malaysia, dengan lebih maklumat pasal jenayah yang mereka lakukan. Disebabkan Bentong Kali jugalah, Geng 04 menjadi salah satu kumpulan gangster paling aktif di negara ni.

Pada masa ni, Geng 04 adalah salah satu daripada kumpulan gangster paling terkenal di negara ini

Geng 04 di Perak pun nampaknya tak nak kalah. Mereka turut berkecimpung dalam perjudian haram dan industri seks sebagai sebahagian daripada aktiviti mereka. Pada tahun 2013, lima orang daripada anggota geng tersebut terbunuh, dan ada antara mereka merupakan pembunuh profesional.

Geng 04. Imej dari securemalaysia.blogspot

Pada tahun 2016 pula, seramai 36 orang ahli kumpulan geng tersebut ditangkap dan dikaitkan dengan kes pembunuhan Datin Renyce Wong di Taman OUG, Jalan Klang Lama. Pada masa kejadian, dia membawa anaknya untuk makan tengahari dan tiba-tiba, dua orang lelaki bersenjata api menembak ke arah kereta mangsa, iaitu sebanyak 5 tembakan yang bukan saja membunuh mangsa, tetapi juga mengenai anak mangsa yang berumur 8 tahun sehingga menyebabkan kerosakan usus.

Berdasarkan laporan pihak polis, seorang ahli perniagaan telah mengupah geng tersebut sebanyak RM60,000, sebab dia tak dapat bayar hutang sebanyak RM13 jutanya kepada mangsa. Dua orang ahli kumpulan tersebut didakwa, manakala 7 suspek lain dibebaskan.

Pembunuhan Datin Renyce Wong. Imej dari straits times

Bukan tu je, pada tahun 2015, lapan orang ahli Geng 04 merempuh masuk parti full-moon di Penang dan memulakan pergaduhan, iaitu dengan mengelar seorang lelaki sebanyak beberapa kali sebelum melarikan diri menggunakan motosikal. Mangsa merupakan tetamu parti tersebut, yang cuba untuk menghentikan gangster-gangster tu, tapi malangnya dia pulak yang kena.

Dalam kejadian berasingan pada tahun 2016, seorang lelaki terbunuh selepas kejadian kejar-mengejar selama 2 km di Petaling Jaya. 12 orang ahli gangster menyerang dua lelaki di atas sebuah motosikal, mengelar mereka berulang kali dan meninggalkan mangsa dengan darah berlumuran – polis mengesyaki bahawa mangsa sebenarnya anggota Geng 04 juga, yang terbunuh disebabkan pergaduhan perebutan kawasan.

Walaupun pelbagai insiden yang berlaku, persoalan sebenarnya adalah, kenapa masih ramai orang yang nak terlibat dengan gangster dan melakukan kejahatan berunsur keganasan?

Ramai anak muda dipaksa masuk ke dalam geng disebabkan kemiskinan

Walaupun didakwa atas kesalahan jenayah, mereka masih bangga mempamerkan nombor kumpulan geng mereka. Imej dari The Star

Lebih kurang 7 daripada 10 orang India terlibat dalam kumpulan kongsi gelap, menunjukkan bagaimana kumpulan kongsi gelap ni mempunyai pengaruh kuat dalam masyarakat India.

PDRM juga mengatakan yang sebenarnya, lebih ramai gangster berumur 21 tahun ke bawah ditahan pada tahun 2016 berbanding tahun-tahun sebelumnya. Menurut The Star pula, kebanyakan gangster yang ditangkap polis hanyalah berusia pertengahan 20-an hingga 30-an. Kebanyakan geng mula merekrut ahli baru sejak sekolah menengah, contohnya macam sambutan terang-terangan Geng 24 ini di luar SMK Sri Andalas di Klang. Ada ahli geng yang masih berpakaian seragam sekolah ‘menyambut’ geng baru mereka dengan memegang sepanduk bertulis dengan angka “24” di atasnya.

Imej dari bestfbkl.blogspot.my

Sejak Ogos 2016, PDRM telah menjalankan pemburuan ahli-ahli kongsi gelap di seluruh negara. Ops Cantas Khas diwujudkan pada tahun 2013 untuk membendung gengsterisme dan juga menghapuskan gangsterime dan kongsi gelap.

Polis juga selalu tangkap suspek yang terlibat dalam aktiviti yang mencurigakan atau menyalahi undang-undang – contohnya pada tahun 2016, di mana PDRM menangkap 71 ahli kumpulan yang disyaki di Perak,termasuk 3 orang dalam senarai paling dikehendaki polis. Menurut polis juga, kemiskinan adalah salah satu punca utama kenapa mereka terlibat dalam kongsi gelap.

“Kebanyakan geng yang direkrut ini berasal daripada keluarga miskin di bandar.Mereka didorong dengan keinginan untuk menjadi lebih berani, ganas dan berbahaya di hadapan rakan” – Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Anti Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa kepada Free Malaysia Today.

“Tapi kita tak cantas guna benda ni”. Imej dari astroawani

Kerajaan juga dah mula memfokuskan remaja di sekolah menengah untuk menghentikan kitaran keganasan dalam gangsterisme. Kotak aduan di sekolah menengah mula diperkenalkan di seluruh negara, bagi membantu para pelajar membuat aduan jika mereka mengesyaki rakan sebaya mereka terlibat dengan mana-mana kongsi gelap.

“Kita perlu ambil perhatian dengan angka yang semakin meningkat. Kita tak boleh biarkan budaya gangsterisme berleluasa. Kita kena hentikannya.” – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, dipetik dari the New Straits Times.

Seperti yang didedahkan dalam dokumentari Al Jazeera 101 East tentang masalah gangsterisme di Malaysia, mereka kadang-kadang tiada pilihan lain. Jadi, kalau kaum India yang terancam dengan kemiskinan ini dibantu, mereka mungkin tak akan terjebak dengan perkara sebegini dan kita mungkin dapat mewujudkan negara yang lebih baik dan selamat untuk semua orang.

Sumber : soscili.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *